SEMEMANGNYA Israel yang diperintah oleh rejim Zionis dianggap melakukan tindakan tidak bertamadun apabila sesuka hati menjajah Palestin, menyerang Iran bersama sekutunya Amerika Syarikat dan kini mahu memusnahkan Selatan Lubnan.
Walaupun apa yang mereka lakukan bertentangan dengan norma kehidupan manusia bertamadun namun Israel ibarat berada pada zaman batu apabila melakukan pencerobohan dan pembunuhan sesuka hati sepertimana berlaku di Palestin.
Sikap tidak bertamadun itu akan diteruskan pula apabila Israel dijadual menjadi tuan rumah sebuah festival LGBT yang didakwa terbesar di Asia Barat pada Jun ini, ketika negara itu masih berdepan konflik berterusan di beberapa wilayah.
Menurut laporan media tempatan The Jerusalem Post yang dipetik New York Post, festival dikenali sebagai “Pride Land” itu akan berlangsung selama empat hari bermula 1 Jun depan di kawasan berhampiran Laut Mati.
Acara berkenaan dijangka menukar sebahagian Gurun Judea menjadi lokasi hiburan berskala besar, lengkap dengan kira-kira 15 hotel serta kompleks tepi pantai, selain pelbagai persembahan yang diadakan sepanjang masa.
Penerbit utama festival tersebut, Aaron Cohen, menyifatkan “Pride Land” sebagai projek terbesar pernah dianjurkan untuk komuniti LGBT di Israel, mengatasi skala perarakan tahunan yang biasa diadakan di Tel Aviv.
“Pelaburan jutaan dolar dilakukan termasuk menempah keseluruhan hotel selama empat hari dan membina sebuah ‘bandar’ sementara di tengah padang pasir,” katanya seperti dilaporkan.
Penganjuran festival itu berlangsung ketika Israel masih berdepan ketegangan dan konflik di beberapa medan, termasuk di Gaza melibatkan Hamas, di Lebanon dengan Hezbollah, di Yaman dengan Houthi serta ketegangan dengan Iran.
Walaupun sebahagian konflik kini berada di bawah gencatan senjata sementara dan rundingan damai sedang diusahakan, situasi keselamatan masih belum stabil sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom telah mengeluarkan nasihat perjalanan agar rakyat mereka mengelakkan lawatan ke Israel buat masa ini atas faktor keselamatan.


