LEBIH tujuh minggu selepas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pihak berkuasa negara itu dilaporkan masih belum melaksanakan proses pengebumian secara rasmi.
Menurut laporan media antarabangsa termasuk NDTV dan Hindustan Times, kerajaan Iran setakat ini belum membuat keputusan muktamad mengenai lokasi persemadian tokoh berkenaan.
Perkembangan itu mencerminkan situasi keselamatan dan politik yang tidak menentu di Teheran ketika ini, dengan kepimpinan semasa yang dikaitkan dengan Mojtaba Khamenei dikatakan memberi tumpuan kepada usaha menangani ancaman daripada Amerika Syarikat dan Israel.
Seorang penganalisis keselamatan turut berpandangan bahawa pihak berkuasa Iran mungkin berdepan kekangan untuk menganjurkan upacara pengebumian berskala besar seperti yang pernah diadakan sebelum ini.
Sebagai perbandingan, pada tahun 1989, Iran mengadakan upacara pengebumian besar-besaran selama beberapa hari bagi bekas pemimpin tertinggi, Ruhollah Khomeini, yang dihadiri jutaan rakyat di jalanan Tehran.
Namun, keadaan semasa yang menyaksikan konflik berterusan antara Iran dan gabungan Amerika Syarikat-Israel dilihat tidak memungkinkan penganjuran acara seumpama itu.
Penganalisis dari sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington turut menyatakan bahawa ketidakupayaan untuk mengadakan pengebumian dalam tempoh yang lama mencerminkan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh kepimpinan Iran ketika ini.
Antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kelewatan itu termasuk kebimbangan terhadap kemungkinan serangan udara, risiko protes berskala besar serta ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan negara.
Terdahulu, laporan media Iran menyatakan bahawa Khamenei dijangka dikebumikan di bandar Mashhad, yang merupakan tempat kelahirannya, dengan upacara penghormatan terakhir dirancang berlangsung selama beberapa hari. Namun sehingga kini, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.
Pada awal Mac lalu, media melaporkan bahawa Khamenei maut dalam satu serangan udara di Teheran yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel. Pengumuman mengenai kematiannya turut dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump.


