POLIS menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM1,890 dalam satu operasi khas di bawah Op Tapis di Jalan Pantai Berahi, Putatan, dekat Penampang, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 25 tahun itu disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis menemui enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 641.82 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,890.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, selain sebatan tidak kurang 12 kali.
Sammy berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Usaha membanteras jenayah dadah akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.


