DUA individu termasuk seorang Timbalan Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenakan perintah reman empat hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, kedua-dua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret berkenaan bagi mendapatkan perintah tahanan reman berhubung kes penyelewengan dana zakat tersebut.
Suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.11 pagi ini diiringi sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor.
Mereka dilihat dalam keadaan bergari dan memakai baju lokap SPRM, masing-masing cuba mengelak dirakam sekumpulan petugas media yang menunggu sejak jam 8.30 pagi.
Media semalam melaporkan, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Dua daripada suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.
Difahamkan, seorang daripada tiga individu yang ditahan itu tidak dibawa untuk mendapatkan perintah reman hari ini berikutan masalah kesihatan.
Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.
Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.
Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.


