Polis Melaka kesan individu guna nama pasukan untuk kutip derma

POLIS Kontinjen Melaka sedang mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahgunakan nama pasukan itu untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penyebaran mesej yang mendakwa penganjuran satu program melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Beliau berkata, mesej itu memaklumkan mengenai `Kursus Pemantapan Integriti dan Pemanduan Asas (SOP) Cawangan Trafik dan Pengangkutan IPK Melaka Siri 2/2026’ yang kononnya akan diadakan di Maktab Teknik PDRM Cheras, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 24 April 2026.

“Bagaimanapun, semakan mendapati tiada sebarang kursus atau program seperti yang didakwa dianjurkan oleh JSPT di IPK Melaka.

“Mesej berkenaan turut memaparkan gambar anggota beruniform, lokasi di IPK Melaka serta menyertakan butiran akaun bank bagi tujuan kutipan sumbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkhairi, pihaknya memandang serius penyalahgunaan nama jabatan itu kerana boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan imej pasukan keselamatan berkenaan.

Tegas beliau, tindakan itu dipercayai mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, selain sebatan dan denda,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyalurkan sebarang sumbangan kepada mana-mana pihak.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img