KERAJAAN memberi jaminan bekalan barangan keperluan dalam negara kekal stabil dan tidak terganggu meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global serta ancaman musim tengkujuh.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, persediaan menyeluruh sudah dilaksanakan menerusi penyelarasan pelbagai agensi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Beliau berkata, situasi Malaysia berbeza dengan beberapa negara luar yang menasihatkan rakyat masing-masing menyimpan stok barangan keperluan, berikutan negara berkenaan turut berdepan cuaca ekstrem seperti musim sejuk dan taufan.
“Kerajaan mengambil perhatian serius terhadap perkembangan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan antarabangsa.
“Namun, melalui pendekatan merentasi pelbagai pihak yang diselaraskan MTEN, kita berupaya memastikan rantaian bekalan dalam negara tidak terganggu. Model sedia ada ini akan terus diguna pakai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Tealive Sparkling Crafted Tea-Prebiotic Soda, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana kerajaan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita tidak melihat ini sebagai isu terpencil dan perlu sentiasa bersiap siaga, namun pada masa sama kita berharap rakyat tidak panik.
“Alhamdulillah, sehingga kini tiada isu besar berhubung gangguan bekalan dalam negara,” katanya.
Menurutnya, pendekatan penyelarasan sama turut digunakan bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menginstitusikan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN bagi memantau keterjaminan bekalan secara berterusan.
“Jawatankuasa ini bukan hanya bertindak apabila timbul isu, sebaliknya memantau keterjaminan bekalan sepanjang masa menerusi mesyuarat berkala setiap dua bulan.
“Kementerian juga akan mengaktifkan semua platform sedia ada bagi memastikan rakyat tidak menghadapi kesukaran mendapatkan barangan keperluan,” katanya.





