Bekas jurugambar lepas, bebas tuduhan mulakan video jelik terhadap PDRM

MAHKAMAH Rayuan hari ini melepaskan dan membebaskan bekas jurugambar daripada pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube dan memulakan video secara jelik terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara membenarkan rayuan akhir Mohd Shahril Abdul Rani, 54, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Jun 2025, yang mengekalkan hukuman denda RM20,000 diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 29 Februari 2024.

Hakim Noorin ketika membacakan keputusan itu berkata, perkara utama yang perlu dibuktikan adalah niat di sebalik komunikasi tersebut, yang mana ia mestilah disokong oleh keterangan jelas serta kukuh dan bukannya sekadar andaian.

“Dalam kes ini, keterangan khususnya daripada saksi pendakwaan ketujuh (Kamarul Ariffin Kamaruzaman) menunjukkan tujuan utama komunikasi oleh perayu adalah untuk memaklumkan penduduk mengenai perkembangan laporan polis serta memohon agar siasatan disegerakan. Tujuan komunikasi itu adalah sah dan tidak boleh disamakan dengan niat untuk mengganggu atau menyinggung,” katanya.

Hakim Noorin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting pertuduhan melampaui keraguan munasabah dan komunikasi perayu jika dilihat dalam konteks sebenar merupakan satu bentuk penyataan kebimbangan yang dilindungi serta tidak bercanggah dengan kebebasan bersuara.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa elemen niat untuk menyinggung tidak berjaya dibuktikan dan sabitan terhadap Mohd Shahril adalah tidak selamat.

“Kami dapati sabitan yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi tidak dapat dikekalkan. Rayuan perayu dibenarkan dan sabitan serta hukuman diketepikan. Oleh itu, perayu dilepas dan dibebaskan. Denda yang telah dibayar dipulangkan kepada perayu,” katanya.

Pada 29 Februari 2024, Mahkamah Sesyen Kajang mendapati Mohd Shahril bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mohd Shahril kemudian merayu terhadap keputusan itu, namun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2025 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Mohd Shahril sebelum ini didakwa menggunakan aplikasi YouTube atas nama ‘Raja Emel’ untuk memulakan video secara langsung mengenai kegagalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menjalankan siasatan terhadap laporan polis dibuat Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Anggun.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan PDRM di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Hulu Langkat pada jam 9.11 malam, 26 Julai 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pada prosiding hari ini, Mohd Shahril diwakili peguam Yu Ying Ying dan Thiruna Jayshan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img