Program Matrikulasi – jangan lari daripada dasar penubuhan dan Perkara 153 Perlembagaan

Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

PROGRAM asasi atau matrikulasi yang dimulakan di universiti diasaskan oleh  Profesor Diraja Ungku Aziz.  Tujuan utama untuk memperbanyak pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang sains dan teknologi khususnya bagi mereka yang di luar bandar serta kurang berkemampuan dari segi kewangan.

 Pusat Asasi secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1977.   Program dikendalikan oleh pihak universiti pada awalnya dan kemudian apabila Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan,  UKM turut mengendalikan program asasinya mulai tahun 1975 hingga 1998.  Pada tahun 1976 juga Akta Universiti Teknologi Mara telah diwartakan.

 Semua program asasi tersebut akhirnya telah berjaya merapatkan jurang lulusan profesional Melayu dengan bukan Melayu, akibat saki- baki dasar penjajahan British di Tanah Melayu.

Tujuan pendidikan penjajah British kepada golongan Melayu khasnya hanya sekadar pendidikan asas, membaca, menulis dan mengira, untuk melahirkan anak Melayu sebagai petani, nelayan yang “lebih baik sedikit” sahaja daripada ibu bapanya, tidak mudah ditipu, atau lebih-lebih hanya sebagai peon seperti yang disuratkan secara rasmi dalam Laporan Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Selat tahun 1903.

Itulah sahaja tujuan pendidikan oleh kerajaan British bagi anak-anak bangsa Melayu, penduduk asal dan peribumi tanah air ini.  Tidak lebih daripada itu.

 Jelas sekali British tidak mahu anak bangsa Melayu, penduduk asal Tanah Melayu menjadi bijak dan segera mengambil alih tampuk pemerintahan mereka dan menguasai bidang ekonomi.

Hal ini pastinya difikir berisiko menggugat kedudukan British  yang ingin terus memunggah hasil mahsul Tanah Melayu pada ketika itu.

Selepas kira-kira 20 tahun program asasi sains dikendalikan oleh hampir semua universiti di Malaysia, pada tahun 1999 Kementerian Pendidikan telah mengambil alih semua program asasi universiti tersebut kecuali Asasi Universiti Malaya dan Asasi Universiti Islam Antarabangsa.

Ini  bertujuan menyeragamkan pentadbiran,  kurikulum, pengambilan dan lain-lain di samping kemasukan ke universiti selepas selesai pengajian.

Pada tahun 1998 tersebut, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan yang membuat keputusan pengambilalihan program asasi sains daripada universiti kepada Kementerian Pendidikan untuk tujuan keseragaman.

Ambilan pertama berjumlah 300 orang telah ditempatkan di Kolej Yayasan Pelajaran Mara, Bangi terdiri daripada lepasan sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara.

Pada tahun 1999 kementerian telah membina dua buah kolej matrikulasi iaitu di Londang, Melaka dan Labuan yang mulanya menumpang di Kompleks Universiti Malaysia Sabah.  Beransur-ansur kolej matrikulasi dibina hampir di setiap negeri termasuk Sarawak kecuali Sabah.

Sejak tahun 1999 hingga 2005 beberapa buah kolej swasta turut membantu menempatkan ribuan pelajar matrikulasi kementerian sementara menanti pembinaan kolej matrikulasi di setiap negeri siap.

Tujuan utama pengambilalihan oleh kementerian daripada universiti pada tabun 1999 itu untuk menambah baik sistem pengajaran, kualiti program, penyeragaman segala urusan berkaitan program asasi tersebut dan diletak di bawah satu kementerian dan lebih selari dengan program universiti.

Apabila kini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)  mengambilalih kembali maknanya penyeragaman segala usaha tersebut seolah-olah tidak relevan lagi?

  Atau ada lagi penyeragaman yang berbentuk baharu daripada sekarang yang mustahil dilakukan oleh KPM maka program ini perlu diambil kembali oleh pihak universiti melalui Kementerian Pengajian Tinggi?

 Sejak tahun 1999 tidak kurang daripada 200,000 lulusan matrikulasi KPM telah berjaya dilahirkan dan mengisi hampir semua bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas di universiti dalam dan luar negara.  Angka besar tersebut bukti sumbangan melahirkan golongan profesional meliputi bidang kedoktoran, pergigian, forensik, kejuruteraan, farmasi, perakaunan, ekonomi, undang-undang dan lain-lain.

Tujuan pengambilalihan program asasi dan  matrikulasi bagi kedua-dua kementerian pada tahun 1999 dan terkini dijangka pada 2027 sama sahaja atau hampir sama alasan dan hujahnya iaitu untuk penyatuan pentadbiran pengurusan pengambilan dan kemasukan pelajar  ke universiti.

Mungkin dapat dirujuk isu berkaitan pemisahan dulu Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan alasan yang munasabah (?) dan kemudiannya dicantum semula selepas perubahan Kabinet, juga dengan alasan munasabah (?) dan akhirnya dipecah semula kepada dua kementerian berasingan juga dengan alasan munasabah (?).

 Nampaknya hal-hal seumpama ini patut diberi perhatian khusus agar tidak berulang perkara yang tidak sepatutnya dan tumpuan kementerian lebih kepada hal yang lebih penting, genting dan kompleks demi kesejahteraan pendidikan negara pada masa hadapan demi  mendepani cabaran lokal dan global dalam gelombang era digital tanpa penghujung ini.

Pengambilalihan juga dikatakan berkaitan dengan status pelajar tersebut yang difikirkan tidak dianggap sebagai kesinambungan dari sekolah atau tingkatan lima kerana mereka mempunyai “taraf” tersendiri sebagai pelajar “prauniversiti”.

Merujuk hal ini penulis teringat bahawa sekitar tahun 1976 lagi iaitu semasa menuntut di Tingkatan 6 kami telah pun menyedari status kami sebagai pelajar prauniversiti dengan mereka cipta dan memakai lencana khas,  Persatuan Pelajar Tingkatan 6 bagi membezakan status kami daripada pelajar lain di sekolah yang sama.

Seterusnya hujah lain KPT mengambil semula program matrikulasi untuk mempertingkat kualiti program.  Justeru soalan yang relevan, adakah matrikulasi selama di bawah bumbung KPM tidak berkualiti atau KPM kini tidak mampu lagi untuk mempertingkat kualiti program matrikulasi?

Kita percaya hampir setiap tahun pengurusan matrikulasi berinteraksi,  berbincang dengan semua universiti yang terlibat berkaitan dengan kurikulum, peperiksaan, sukatan pelajaran dan segala hal yang berkaitan?

KPT juga difahamkan akan terus mempertahan kebajikan staf matrikulasi KPM walaupun selepas mengambilalih nanti.  Banyak isu sedang menanti.  Misalnya dari segi perjawatan. Staf matrikulasi KPM mempunyai skim kenaikan pangkat berdasarkan tempoh masa perkhidmatan (time-base).

Skim ini tidak wujud dalam perkhidmatan di universiti mahupun KPT.  Adakah jaminan bahawa skim ini akan terus dinikmati oleh kira-kira 3000 orang staf matrikulasi KPM setelah diserap oleh KPT?

 Jika jawapannya ya, bagaimana dengan staf sedia ada di universiti atau dalam KPT yang tidak terlibat atau tidak menikmati   skim tersebut?.  Tidakkah hal ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak selesa bagi mana-mana pihak.

Kita percaya KPT tentunya akan memastikan agar skim tersebut adil untuk semua pihak dan tidak merugikan sesiapa khasnya semua staf matrikulasi yang akan diserap.

Satu lagi perkara penting berkaitan jawatan ialah tentang cuti tahunan.  Staf universiti umumnya sejak lama menikmati cuti tahunan dan bukan cuti semester walaupun mereka tetap mengutamakan kebajikan pelajar.

Itu antara sebab kononnya matrikulasi mengutamakan kebajikan pelajar dan tidak melaksanakan cuti tahunan seolah-olah staf universiti mengabaikan kebajikan pelajar?

Staf akademik program matrikulasi KPM menikmati cuti semester walaupun pernah beberapa tahun dahulu mengusulkan cuti  tahunan (sekitar 2016) dan majoriti mereka, lebih 90 peratus staf menyokong cuti tersebut.

Malangnya tidak dipersetujui oleh pengurusan tertinggi di Bahagian Matrikulasi ketika itu dengan beberapa alasan yang kurang munasabah, sedangkan pihak pengurusan berkenaan turut menikmati cuti tersebut semasa bertugas di universiti dan juga  semasa mengurus pentadbiran matrikulasi.

 Isu cuti ini mungkin tidak begitu sukar diatasi.  Justeru menggunapakai dan menyeragam cuti tahunan bagi semua staf akademik seperti staf pentadbiran adalah kaedah terbaik jangka panjang untuk kebajikan semua staf matrikulasi.

Apapun Kementerian Pendidikan mungkin dapat menarik nafas lega dan melupakan  tentang kompleksnya mengurus  program matrikulasi tersebut di samping pastinya akan terkesan dalam pentadbirannya kerana kehilangan satu bahagian atau sayapnya yang sangat penting dalam keseluruhan kemuncak pengurusan pendidikannya.

Tetapi di atas segala-galanya, dasar program matrikulasi untuk memperbanyak lulusan Melayu dan bumiputera dalam bidang profesional,  sains, teknologi dan sastera ikhtisas wajib diteruskan, tanpa diubah hingga bila-bila, selaras dengan peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak wajar dipersoal oleh mana-mana pihak.

*Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani & Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img