Rejim Zionis terus bunuh wartawan…PBB hanya diam, negara Arab sekadar kecam

REJIM Zionis sememangnya tidak pernah mempedulikan undang-undang antarabangsa apatah lagi Konvensyen Geneva. Dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) negara pengganas Israel terus melakukan kekejamam di Gaza dan Lubnan.

Ketika melakukan keganasan tersebut mereka tidak mempedulikan sama sekali sesiapa dari bayi dalam kandungan hingga warga emas yang terlantar di atas katil, semuanya menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang diketuai penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu.

Tidak cukup membunuh orang awam sesuka hati dan menghancurkan segala infrastruktur yang ada di Gaza dan Lubnan, rejim Zionis turut membunuh wartawan-wartawan popular dan berpengaruh di kedua-dua tempat tersebut.

Mana-mana wartawan yang dilihat popular dan liputan beritanya tersebar seluruh dunia pasti akan  menjadi sasaran Israel. Ada antara mereka menjadi sasaran untuk dibunuh oleh Israel dan ada pula yang kononnya didakwa Israel ‘terbunuh’ ketika membuat liputan.

Di Gaza antara wartawan popular yang dibunuh dan ‘terbunuh’ sejak 2023 termasuk:

  • Wael Dahdouh (kehilangan ahli keluarga dalam serangan; anaknya turut terbunuh)
  • Hamza Dahdouh (wartawan Al Jazeera, anak kepada Wael, terbunuh dalam serangan udara)
  • Issam Abdallah (wartawan Reuters yang terbunuh di selatan Lubnan ketika membuat liputan konflik berkait Gaza)
  • Mohammed Abu Hatab (wartawan Palestine TV yang terbunuh bersama ahli keluarganya di Gaza)
  • Samir Abu Daqqa (jurukamera Al Jazeera yang maut selepas cedera dalam serangan)
  • Yasser Murtaja (terbunuh sebelum perang 2023, tetapi sering dirujuk sebagai simbol wartawan Gaza yang menjadi sasaran)
  • Rushdi Sarraj (pengasas Ain Media, terbunuh dalam serangan udara di Gaza).

Hari ini kegilaan rejim Zionis membunuh wartawan popular atau berpengaruh merebak pula ke Lubnan. Malam tadi wartawan Lubnan, Amal al-Khalil, dilaporkan dibunuh  selepas menjadi sasaran serangan Israel di pekan al-Tayri, selatan Lubnan.

Menurut sumber tempatan, mangsa yang merupakan wartawan akhbar al-Akhbar terkorban dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh tentera Israel ketika ketegangan berterusan di kawasan sempadan selatan negara itu.

Dalam kejadian sama, seorang lagi wartawan, Zainab , turut menjadi sasaran serangan pada petang sebelumnya. Beliau bagaimanapun ditemui dalam keadaan cedera oleh pasukan Palang Merah Lubnan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Sumber turut mendakwa bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan Palang Merah, sekali gus menghalang usaha menyelamat serta pemindahan mangsa dari lokasi kejadian.

Insiden berkenaan dilihat menambah ketegangan di selatan Lubnan yang sejak kebelakangan ini sering menyaksikan peningkatan serangan dan pertempuran.

Hujung bulan lalu, seorang wartawan terkenal Lubnan,Ali Shuaib dibunuh selepas kenderaan yang dinaikinya bersama dua wartawan Al Mayadeen diserang oleh tentera Israel di selatan Lubnan.

Menurut rakan-rakan beliau, Shuaib dikenali sebagai simbol keberanian. Kehadirannya di barisan hadapan dengan kamera sering dianggap ancaman oleh tentera Israel, sehingga mereka bertindak menjauh sebaik menyedari kehadirannya.

Beliau turut disifatkan sebagai “Avini Lubnan”, merujuk kepada Morteza Avini, kerana dedikasinya sepenuhnya terhadap medan dan perjuangan, sebelum akhirnya terbunuh dalam serangan tersebut.

Hakikatnya, ketika rejim Zionis  memastikan kemusnahan dan kematian di negara itu dalam perang dengan Iran tidak didedahkan, mereka juga cuba menutup kekejaman yang mereka lakukan dengan membunuh wartawan di Gaza dan Lubnan.

Soalnya siapakah yang mampu menghalang Israel? TIDAK ADA! Termasuklah negara-negara Asia Barat yang sekadar mengecam dan lebih rela menjaga hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat daripada membela nasib umat Islam yang menjadi mangsa kekejaman Netanyahu yang disokong Trump.

Bagaimanakah dengan Konvensyen Geneva 1949 yang menetapkan wartawan dianggap sebagai orang awam (civilian) selagi mereka tidak terlibat dalam pertempuran? Wartawan tidak boleh disasarkan secara langsung, mesti dilindungi daripada serangan dan mesti diberi layanan kemanusiaan jika ditahan.

Jika melihat apa yang dilakukan oleh rejim Israel…lupakan saja Konvensyen Geneva itu… apatah lagi PBB pula sekadar wujud tetapi tidak berfungsi. Kalau tentera pengaman mereka dibunuh oleh Israel pun mereka tidak mampu buat apa-apa, apatah lagi mahu membela wartawan…buang masa saja.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img