Tindakan seorang lelaki memecut kenderaan selepas panik diarahkan menjalani ujian saringan air kencing mengundang padah apabila dia diberkas polis dalam Op Pematuhan di Jalan Kampung Sungai Karang, Pontian, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu membabitkan suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun yang memandu sebuah Honda City.
Menurutnya, suspek yang dalam perjalanan dari arah Jambatan Sungai Pulai menuju ke Parit Jerman pada awalnya dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.
“Suspek kemudian bertindak memecut laju secara berbahaya bagi meloloskan diri, namun berjaya dikesan dan ditahan di Kilometer 15, Jalan Kukup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas badan dan kenderaan tidak menemukan sebarang bahan terlarang, namun suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Menurutnya, dalam operasi sama, sebanyak 47 kenderaan diperiksa dengan 12 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos, tiada lesen memandu dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran.


