Perhilitan Perak siasat kemunculan harimau dekat Tasik Banding

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung dakwaan kemunculan seekor harimau yang dikatakan berkeliaran di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), berhampiran Bukit Jala, Pulau Banding.

Meskipun video berdurasi 17 saat yang memaparkan haiwan liar itu melintas jalan tular di media sosial, pihak berkuasa menegaskan tiada aduan sahih yang dibuat oleh mana-mana pihak setakat ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman berkata, walaupun ketiadaan laporan rasmi, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan dan siasatan di lapangan.

Menurut Mohd Taufik, kawasan JRTB sememangnya merupakan kawasan habitat asal dan laluan lintasan utama bagi pelbagai spesies hidupan liar.

Kawasan tersebut menghubungkan Hutan Simpan Amanjaya dengan Hutan Simpan Temenggor.

Selain harimau katanya, laluan ini sering digunakan oleh gajah, tapir, dan pelbagai hidupan liar lain untuk bergerak di antara dua kawasan hutan simpan berkenaan.

Pihak Perhilitan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, terutamanya ketika memandu pada waktu malam atau awal pagi kerana ia merupakan waktu puncak bagi hidupan liar aktif mencari makan.

Dalam pada itu, Mohd Taufik turut menyeru orang awam agar berhenti menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.

“Kami menggalakkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kehadiran hidupan liar terus kepada pihak Perhilitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan segera demi keselamatan semua pihak,” katanya lagi.

Rakaman video tersebut yang tular dalam media sosial mencetuskan kegemparan dalam kalangan pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan Gerik-Jeli tersebut, memandangkan ancaman harimau merupakan isu keselamatan yang serius.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img