SEORANG pesara warga emas direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas cucunya yang berusia 13 tahun mendedahkan menjadi mangsa rogol lelaki terbabit sepanjang tahun lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 67 tahun dibenarkan Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, polis menerima laporan mengenai kejadian itu dua hari lalu selepas mangsa menceritakan kepada ibunya.
Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 13 tahun dan tinggal bersama datuknya di sebuah rumah dalam daerah ini selepas ibu bapanya bercerai.
Bagaimanapun, pada April lalu, ibu mangsa membawanya pulang ke sebuah negeri di utara tanah air.
Kejadian itu terbongkar selepas ibunya menyedari mangsa menghantar mesej kepada seorang kenalan.
Pada mulanya, mangsa tidak menceritakan namun selepas didesak akhirnya dia memberitahu dirogol datuk sendiri.
Daripada maklumat awal, kejadian berlaku sepanjang tahun lalu dan kali terakhir Disember lalu.
Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.






