29 PATI ditahan JIM dalam serbuan kilang lantai

SERAMAI 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kilang pembuatan lantai formica di Bukit Selambau, Sungai Petani.

Operasi yang dijalankan hasil maklumat dan risikan itu bermula kira-kira jam 10 pagi dan disertai 16 pegawai Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah.

“Dalam operasi tersebut, seramai 199 individu diperiksa membabitkan 20 warga tempatan, 127 warga Bangladesh, 25 warga Nepal, 22 warga China dan lima warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 29 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar berusia antara 27 hingga 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati seramai 26 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Selain itu, dua lagi warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan manakala seorang lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam tempoh pemeriksaan, pihak Imigresen turut mengeluarkan dua Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan lanjut.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM dalam kenyataannya menegaskan operasi penguatkuasaan dan pematuhan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kehadiran PATI di negara ini.

Jabatan itu turut memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk majikan yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan serta pas yang sah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img