MAHKAMAH Tinggi Klang hari ini melepas dan membebaskan tiga tertuduh, termasuk seorang wanita, daripada dakwaan bersubahat membunuh suaminya dalam kejadian rompakan palsu di Taman Anika Baru, Sungai Udang, empat tahun lalu.
Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Tertuduh terbabit ialah Leong Eng Eng, 41, bersama dua lelaki, Lim Yon Hay, 40, dan Mok Kum Loon, 41.
Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 109 kanun sama.
Mahkamah turut membenarkan pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh, Yon Loon, ditarik balik selepas dia meninggal dunia akibat tibi tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Norliza berkata pendakwaan gagal membuktikan elemen pembunuhan sama ada melalui keterangan langsung saksi atau bukti keadaan.
“Untuk membuktikan Eng Eng membunuh suaminya, pihak pendakwaan memerlukan lebih daripada sekadar menunjukkan tompokan darah pada pakaian tertuduh.
“Rakaman CCTV yang dikemukakan juga kabur dan tiada apa yang mencurigakan kerana tertuduh berada di kawasan rumahnya sendiri,” katanya.
Beliau turut memutuskan rakaman CCTV itu tidak boleh diterima kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950.
Jelasnya, pihak pendakwaan hanya mengemukakan memori kad yang dirampas oleh pegawai penyiasat yang mengakibatkan tiada perbandingan dibuat dengan peranti asal bagi mengesahkannya.
“Tiada juga keterangan dikemukakan bahawa sejumlah RM2,600 disyaki wang upahan kepada Hon Hay. Dari sudut lain adalah kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat apabila tiada rakaman penting iaitu pergelutan untuk menunjukkan suspek yang bergelut dengan si mati dan mencederakannya adalah kesemua tertuduh,” katanya.
Justeru, katanya, pegawai penyiasat gagal menyiasat rantaian antara semua tertuduh dalam kes, termasuk siapa yang hadir di rumah terbabit pada malam itu dan kaitan mereka dengan Eng Eng.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Kes itu membabitkan kematian Chow Tiam Hee, 41, yang didakwa berlaku di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang, kira-kira jam 1.20 pagi, 15 September 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli, manakala Eng Eng diwakili peguam, Datuk Mohd Daud Leong Abdullah; Yon Hay diwakili peguam, Tan Choon Hong dan Mok Kum Loon diwakili Ayasamy Velu.
Sepanjang perbicaraan bermula September 2023, seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.


