Pegawai tentera mabuk: Polis buka kertas siasatan bunuh kes maut di MEX

POLIS membuka kertas siasatan terhadap seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju (MEX), awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek berusia 31 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini bagi permohonan reman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari bermula 24 April hingga 28 April bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 5.38 pagi di Kilometer 1.9 lebuh raya itu, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.

Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Empat lagi mangsa termasuk pemandu e-hailing serta dua penumpang lain mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan awal mendapati suspek memandu dalam keadaan mabuk selepas ujian pernafasan menunjukkan bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img