MASALAH infrastruktur asas, khususnya bekalan air, perlu ditangani bagi memastikan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4), mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi menjelang 2050.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata demikian ketika mengulas sasaran KDNK gabungan RM723.75 bilion menjelang 2050 yang diketengahkan empat negeri di bawah inisiatif SG4 itu, berdasarkan unjuran pertumbuhan tahunan 7%.
“Saya tidak mahu memberikan komen terhadap sasaran pertumbuhan yang diletakkan, tetapi kita perlu semak usaha kerajaan persekutuan yang sewajarnya diketengahkan dalam perbincangan untuk membangunkan wilayah-wilayah ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Akmal berkata, usaha mencapai sasaran itu memerlukan perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan yang berkesan.
Katanya, peruntukan pembangunan kerajaan persekutuan bagi empat negeri itu berjumlah RM7.70 bilion pada 2025, berbanding anggaran gabungan belanjawan pembangunan negeri sekitar RM1.13 bilion.
Sebanyak 1,487 projek pembangunan turut diluluskan di bawah RMK13, dengan kos keseluruhan RM71.52 billion, tambahnya.
“Peruntukan siling pembangunan bagi empat negeri itu di bawah ‘Rolling Plan’ Kedua 2027 meningkat kepada RM8.11 bilion, berbanding RM7.98 bilion di bawah ‘Rolling Plan’ Pertama 2026,” katanya.
Beliau turut merujuk data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi 2025 yang menunjukkan empat negeri itu merekodkan pelaburan diluluskan RM37.23 bilion, dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.
“Namun, kelulusan pelaburan bukan bermakna projek telah siap. Potensi pekerjaan bukan bermakna pekerjaan telah diwujudkan. Kita perlu memastikan projek benar-benar dilaksanakan,” katanya.
“Perkara yang lebih saya bimbangkan dalam kita merancang ekonomi sehingga 2050 adalah cabaran infrastruktur asas sedia ada seperti bekalan air bersih dan infrastruktur asas yang lain.
Akmal menegaskan bahawa isu bekalan air perlu diberi perhatian, khususnya di Kedah yang mencatatkan rizab margin sifar peratus, selain di Kelantan.
“Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infrastruktur asas seperti ini?” soalnya.





