DATUK Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan berhubung senarai nama calon baharu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perkara tersebut pagi ini.

“Nanti saya akan umumkan kemudian (nama Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu) nanti.
“Saya sudah mengadakan perbincangan Tuanku (Sultan Ibrahim) tadi,” katanya ringkas kepada media di selepas majlis makan tengah hari di Pasar Tani Kekal Permas Jaya di Johor Bahru hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda sambil menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
Sementara itu, Awar ketika ditanya mengenai senarai nama calon yang diserahkan kepada Sultan Ibrahim sekadar memaklumkan, jumlah yang diserahkan itu layak.
“Nama yang layak ada 120,” katanya dalam nada berseloroh.
Azam mula menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan pada 2 Mac 2020, selepas hanya kira-kira 10 bulan memegang jawatan tersebut. Beliau dilantik semula sebanyak tiga kali berturut-turut, setiap kali untuk tempoh setahun.
Jawatan berkenaan menarik perhatian umum kerana SPRM menjadi badan penguatkuasaan utama negara dalam pembanterasan rasuah dan erta pemulihan aset negara yang hilang akibat penyelewengan besar-besaran.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat beramah mesra bersama komuniti tempatan di Permas Jaya, sebelum menyertai lebih 1,500 jemaah termasuk Onn Hafiz menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya.


