SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang lagi suspek yang disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan berjumlah kira-kira RM54,000.
Perintah reman selama dua hari terhadap suspek dikeluarkan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Raub, hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 10 malam tadi, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penjawat awam di sebuah hospital di negeri ini disyaki bersubahat dengan seorang suspek lelaki iaitu pengurus jualan sebuah syarikat pembekal barangan kesihatan yang sebelum ini ditahan Selasa lalu.
“Suspek ditahan berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan peralatan pembedahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Lipis,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Selasa lalu, pengurus jualan syarikat pembekal barangan kesihatan direman tiga hari kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan berjumlah kira-kira RM54,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 8.30 malam pada 20 April lalu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2025,” kata sumber itu.


