SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan reman seorang bekas penyelia kilang selama enam hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM25,000 daripada 31 pekerja asing seliaannya sebagai balasan menyokong serta memberi kebenaran bekerja lebih masa.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka di Alai.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2024 hingga 2025 dengan menerima wang secara tunai daripada pekerja terbabit secara bulanan antara RM25 hingga RM200.
“Suspek dipercayai mengugut pekerja warga asing itu dengan tidak menyokong serta tidak memberi kebenaran bekerja lebih masa jika permintaannya tidak dipenuhi,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


