DUA wanita termasuk timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan direman lima hari berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan dan pembekalan barangan pejabat bernilai RM15,000, tahun lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan.
Permohonan dibuat SPRM Melaka di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi ini.
Suspek kakitangan awam itu ditahan kira-kira jam 7.10 malam tadi manakala seorang lagi wanita yang juga kontraktor ditahan sejam sebelum itu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 41 dan 43 tahun. Difahamkan, timbalan pengarah terbabit kini merupakan pengarah sebuah agensi kerajaan berkaitan industri pembinaan di Melaka.
Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan perkhidmatan dan pembekalan barangan pejabat bernilai RM15,000 bagi Disember 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan tiga invois pembekalan makan minum dan pembelian am dalam sistem ePerolehan bagi tahun kewangan 2025 sedangkan pembekalan dan pembelian tersebut tidak pernah dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit dan memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


