POLIS telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan itu telah dilengkapkan dan kini menunggu arahan lanjut daripada pihak AGC.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu lalu dan kita kini menunggu arahan serta nasihat lanjut daripada mereka. Perkara itu kini dalam kajian pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut termasuk cadangan pertuduhan terhadap mana-mana individu kerana perkara itu masih dalam penelitian AGC.
Sementara itu, AGC sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh semua dokumen berkaitan bagi menentukan tindakan susulan yang wajar.
Dalam kejadian pada 24 November tahun lalu kira-kira jam 4 pagi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang anggota polis.
Insiden itu turut menyebabkan seorang koperal polis berusia awal 30-an cedera serius di bahagian lengan kiri.


