MAHKAMAH Tinggi Alor Setar hari ini menolak tuntutan ganti rugi RM3 juta yang difailkan seorang bapa susulan kematian anak perempuannya yang didakwa akibat renjatan elektrik di kolej kediaman pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok empat tahun lalu.
Hakim Dr Mohammad Johan Lee memutuskan demikian selepas mendapati plaintif, R Sivakumar, 57, gagal membuktikan dakwaan kecuaian terhadap pihak universiti sebagai defendan.
Dalam penghakimannya, beliau menjelaskan bahawa pihak plaintif gagal membuktikan renjatan elektrik sebagai punca utama kematian pelajar terbabit, Vinosiny, 21.
Katanya, laporan bedah siasat yang dikemukakan pihak plaintif mempunyai beberapa kelemahan ketara termasuk dapatan awal yang dibuat sebelum siasatan lengkap dijalankan di lokasi kejadian.
“SP1 (Pegawai Perubatan) mengakui membuat kesimpulan awal berhubung kemungkinan renjatan elektrik sebelum melawat tempat kejadian dan melengkapkan siasatan.
“Selain itu, ujian forensik penting seperti metalisasi juga tidak dijalankan,” katanya, lapor BH.
Mahkamah turut mendapati laporan berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran kukuh kerana pegawai perubatan itu bukan pakar perunding patologi forensik serta mengendalikan kurang daripada lima kes renjatan elektrik sepanjang kerjayanya.
Katanya, pegawai perubatan berkenaan mengakui bahawa kesimpulan renjatan elektrik berkemungkinan berlaku apabila buku lali si mati tersentuh palang besi di bawah meja.
“SP1 secara jelas mengakui tiada kaitan renjatan elektrik daripada lampu dinding seperti didakwa dalam kes plaintif, selain palang besi itu hanya konduktor dan tidak boleh menjadi punca elektrik dengan sendirinya.
Selain itu beliau berkata, si mati turut didapati menghidap penyakit fibrosis miokardium yang meningkatkan risiko aritmia (degupan jantung tidak normal) yang boleh membawa maut.
Dalam masa sama, berdasarkan keterangan juga, Suruhanjaya Tenaga (ST) sudah menjalankan ujian menyeluruh terhadap sistem elektrik dan merumuskan bahawa peranti (elektrik) di kolej kediaman mangsa berfungsi dan beroperasi dengan baik selain tiada petunjuk fizikal mengenai kerosakan peralatan elektrik.
“Plaintif telah gagal membuktikan kaitan penyebab, causation dan pelanggaran kewajipan (duty of care) oleh defendan… oleh itu tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan Sivakumar membayar kos sebanyak RM5,000 kepada UUM.
Pada 28 Februari 2022, Sivakumar memfailkan saman kecuaian terhadap UUM dengan menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk RM1 juta, ganti rugi teladan RM1 juta dan ganti rugi khas RM50,000.
Plaintif diwakili peguam M Manoharan dan M Hariharan, manakala UUM diwakili peguam P Barvina dan Y Sathisharajah.
Manoharan ketika ditemui pemberita selepas prosiding di luar mahkamah memberitahu pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan secepat mungkin.
Dalam kejadian pada 21 Mei 2022, Vinosiny, yang juga pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) di UUM, ditemukan mati di dalam bilik asramanya.


