Pelancaran inisiatif Sekolah Angkat MADANI dan Program Cerdik Hijau di Kampung Biah

MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup merasmikan pelancaran inisiatif Sekolah Angkat MADANI dan Program Cerdik Hijau di Sekolah Kebangsaan Kampung Biah di Keningau, baru-baru ini.

Inisiatif strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam menterjemahkan kerangka Kerajaan MADANI kepada usaha pembangunan komuniti yang bersifat praktikal.

Program-program ini bertujuan merapatkan jurang infrastruktur pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar di Sabah melalui pendekatan yang inklusif dan mampan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM100,000 bagi menyokong kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf kemudahan asas sekolah.

Dana tersebut akan digunakan untuk pelaksanaan projek-projek penting, termasuk transformasi dewan sekolah sebagai pusat integrasi pelbagai guna serta pembinaan ruang menunggu pelajar yang lebih kondusif dan selamat.

Bersempena pelancaran tersebut, Program Cerdik Hijau diperkenalkan bagi memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid sebagai sebahagian daripada budaya pembelajaran mereka.

Program ini merangkumi aktiviti praktikal seperti inisiatif kitar semula serta pengenalan sistem pertanian hidroponik mini, yang menggalakkan murid mengamalkan amalan lestari sejak usia muda.

Inisiatif ini direka bagi melahirkan pelajar yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mempunyai kesedaran alam sekitar yang tinggi, selaras dengan usaha global dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Arthur menegaskan bahawa pemerkasaan sektor pendidikan kekal sebagai keutamaan dalam agenda perkhidmatannya, khususnya dalam memastikan pelajar di kawasan luar bandar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin moden tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Datuk P.Geol. Zamri Ramli, Pengarah Jabatan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Biah, Usrah Abd Wahid.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img