Kerajaan giat bangunkan industri hiliran kenaf – Noraini

KERAJAAN sedang mempergiat usaha membangunkan industri hiliran kenaf sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk meningkatkan nilai agrokomoditi serta menyokong pendapatan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melihat kenaf sebagai sektor agrokomoditi berpotensi tinggi dengan prospek pertumbuhan yang kukuh pada masa hadapan.

Beliau yang mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan kenaf Non-Woven Thermobonding yang dikendalikan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Saujana di Setiu, baru-baru ini menyifatkan fasiliti itu sebagai mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem kenaf yang berdaya saing dan mampan.

Noraini turut memuji kerjasama anatara awam dan swasta yang memacu operasi kilang tersebut. Sejak 1 April 2022, fasiliti itu diuruskan oleh syarikat tempatan EADECO Nonwoven Sdn Bhd dengan memanfaatkan kepakaran domestik bagi meningkatkan pengeluaran dan pengkomersialan.

Menurut beliau, kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri adalah penting dalam memperkasa produk kenaf termobond, khususnya untuk aplikasi bernilai tinggi dalam sektor pembuatan automotif, pembinaan dan perabot.

“Selain sumbangan industri, fasiliti ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong kelangsungan hidup pekebun kecil. Ia berfungsi sebagai hab pemprosesan utama bagi kira-kira 1,000 hektar tanaman kenaf di Terengganu dan Kelantan.

“Dengan jaminan pembelian yang konsisten daripada kilang ini, pekebun kecil dilindungi daripada isu lebihan bekalan dan kekangan akses pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Noraini memberitahu, kestabilan ini memastikan sumber pendapatan yang lebih mampan serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti penanam kenaf.

Menurutnya lagi, KPK akan terus menggalakkan inovasi serta memperluas penggunaan gentian semula jadi bagi meningkatkan daya saing industri kenaf Malaysia.

Beliau menambah, matlamat KPK adalah meletakkan kenaf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara yang mesra alam, sambil memastikan pekebun kecil kekal sebagai sebahagian penting dalam rantaian nilai.

Noraini berkata, kilang tersebut yang dibangunkan dengan pelaburan berjumlah RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 2,400 tan metrik produk kenaf bukan tenunan.

Ia dianggarkan mampu menjana nilai pasaran antara RM16 juta hingga RM18 juta setahun bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport, kata beliau.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img