SEBANYAK 22 syarikat dari Amerika Syarikat (AS) termasuk IBM, Micron dan Boeing bersedia menyumbang kepakaran teknikal bagi memastikan transisi hijau Malaysia berjalan lancar dan kos efektif melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Kesemua syarikat berkenaan menyatakan komitmen itu menerusi pertemuan antara Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dengan delegasi US-ASEAN Business Council (USABC) yang diketuai Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Duta (B) Brian D. McFeeters, hari ini.
NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan sektor swasta AS khususnya dalam memacu agenda Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) serta Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK).
“Dalam sesi tersebut, Menteri menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia untuk mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawalnya pada 2050,” menurut kenyataan itu.
NRES berkata, Arthur turut berkongsi perkembangan terkini mengenai penggubalan RUUPIN yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Jun 2026 dan akan menjadi tunjang kepada tadbir urus iklim negara.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak USABC secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif RUUPIN yang diterajui NRES dan menyifatkan langkah perundangan itu sebagai satu anjakan paradigma yang mampu memberikan kepastian kawal selia kepada pelabur antarabangsa.
“Pada masa sama, pihak USABC menzahirkan harapan agar kerajaan Malaysia mengekalkan konsistensi pelaksanaan dasar bagi menjamin kestabilan ekosistem pelaburan jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Antara perkara utama dibincangkan adalah harapan pihak industri agar Malaysia memainkan peranan sebagai peneraju dalam menyelaraskan polisi karbon di peringkat ASEAN bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan serta integrasi pasaran karbon serantau yang lebih efisien.
Selain itu, industri turut mencadangkan supaya hasil kutipan cukai karbon disalurkan secara telus kepada projek konservasi, inisiatif mitigasi iklim dan pembangunan teknologi hijau bagi memastikan impak positif terhadap alam sekitar dapat diukur dengan jelas.
NRES memaklumkan, syarikat ahli USABC turut menyifatkan peranan kementerian itu sebagai pemudah cara yang penting dalam memastikan sesi libat urus bersama pihak swasta terus diperkukuh demi menjayakan transisi hijau negara secara adil, inklusif dan praktikal.
Dalam pada itu, Arthur turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan USABC sebagai jambatan inovasi dan pemindahan teknologi serta menyifatkan hubungan tersebut bukan sekadar advokasi perniagaan, malah perkongsian asas dalam transformasi Malaysia sebagai kuasa ekonomi hijau serantau.
Sebagai langkah susulan, NRES bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut mempelawa syarikat ahli USABC menyertai Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026 pada Oktober ini bagi meneroka peluang pelaburan dalam teknologi rendah karbon.


