BARISAN Nasional (BN) belum bersedia mengumumkan secara rasmi sebarang strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu masih menjadi rahsia parti buat masa ini.
“Adakah BN akan bertanding solo ataupun berparti dalam PRN Melaka?. Itu rahsia parti,” katanya ringkas ketika ditemui media pada Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan pada masa yang sesuai, selain menegaskan bahawa penelitian akan dibuat bagi mengelakkan pertindihan kerusi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai nama-nama besar yang pernah menganggotai UMNO dan memohon untuk menyertai semula parti itu, Mohamed Khaled berkata, perkara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan inisiatif Rumah Bangsa yang kini dilihat sebagai antara usaha baharu UMNO dalam mendekati generasi muda.
Menurutnya, Rumah Bangsa diwujudkan sebagai wadah bagi memudahkan golongan muda menyertai UMNO tanpa perlu melalui proses yang mungkin dilihat kurang menggalakkan.


