POLIS menahan empat pelajar bagi membantu siasatan kes buli seorang murid sekolah rendah yang tinggal di sebuah asrama anak yatim di Melaka.
Tindakan diambil susulan laporan dibuat ibu mangsa pada jam 7.11 malam pada 24 April lalu, mendakwa anaknya telah dipukul, ditendang, selain kepalanya direndam ke dalam baldi berisi air dan turut diseret di lantai tandas oleh pelaku.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah mengadakan operasi tangkapan sehari kemudian iaitu pada 25 April lalu sekitar jam 3.45 petang.
Beliau berkata, seramai empat pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka merupakan pelajar sekolah menengah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing didapati negatif.
“Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi memberitahu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sebarang maklumat dalam media sosial.


