Akaun bank Cropmate dibekukan SPRM, operasi kekal berjalan seperti biasa

BEBERAPA akaun bank milik pengeluar baja, Cropmate Bhd dan anak syarikatnya dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan, Cropmate memaklumkan ia dimaklumkan mengenai pembekuan tersebut pada 24 April lalu di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, berdasarkan maklumat sedia ada, tiada petunjuk bahawa tindakan tersebut melibatkan sebarang salah laku oleh pihak pengurusan atau kakitangannya.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyokong sepenuhnya proses siasatan,” kata lembaga pengarahnya.

Cropmate turut menegaskan operasi perniagaan kekal stabil dan tidak terjejas, termasuk hubungan dengan pelanggan serta rakan kongsi.

“Operasi diteruskan seperti biasa, disokong pengaturan perbankan sedia ada dan kami kekal fokus memberikan nilai kepada pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, langkah sewajarnya telah diambil bagi memudahkan proses akaun tersebut dinyahbekukan.

Syarikat itu juga menegaskan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan, selain tidak menyedari sebarang salah laku.

Menurutnya, pembekuan akaun berkenaan dijangka tidak memberi kesan terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img