Dua penuntut ADTEC maut, kemalangan tiga kenderaan di Batu Pahat

DUA penuntut Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) kampus Batu Pahat maut, manakala dua lagi rakan mereka parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 136, Jalan Muar–Batu Pahat, berhampiran Kampung Parit Orang Kaya, semalam.

Nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Hariz Nizam, 21, dan Pugalenthi Phaventhan, yang kedua-duanya mengikuti bidang Teknologi Mekatronik.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua motosikal dinaiki empat penuntut terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori dari arah Batu Pahat menghala ke Kesang, Muar membelok ke simpang kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal dinaiki dua mangsa.

“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal dinaiki rakan mereka dari arah sama turut merempuh kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Dua lagi mangsa berusia 21 tahun cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.

“Pemandu lori berusia 46 tahun dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, pihak ADTEC Batu Pahat dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian dua penuntut berkenaan.

“Pemergian mereka amat dirasai dan merupakan satu kehilangan besar buat warga kampus. Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan.

“Dua lagi penuntut yang terlibat kini dilaporkan dalam keadaan stabil. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mereka segera sembuh,” menurut kenyataan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img