Pekebun warga emas didakwa bunuh 3 individu

SEORANG lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas tiga pertuduhan membunuh di restoran di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada 19 April lalu.

Lim Lian, 71, seorang pekebun mengangguk faham atas ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dua lelaki tempatan iaitu Wong Poh Soon, 61, dan Chen Kwai Hwa, 64, serta wanita warga asing, Tran Thi Trang, 37, di Kedai Chan Fong Moi dekat Jalan Delima, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada jam 1.30 petang, 19 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar manakala tertuduh diwakili peguam Belinda Low.

Eizlan memohon tarikh sebutan dalam masa dua minggu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapat izin supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan segera.

Beliau turut tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapkan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Terdahulu tertuduh tiba di mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi yang juga pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nor Azizi Indzam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang 19 April lalu itu, suspek ditahan setengah jam selepas kejadian selepas menembak mati tiga mangsa termasuk seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 hingga 64 tahun di tempat kejadian.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img