RAYUAN akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana ARMADA akan diketahui pada 30 Jun ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan kekal bebas sekiranya Mahkamah Persekutuan Malaysia menolak rayuan pendakwaan, namun berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada pihak pendakwa raya.
Tarikh keputusan itu dimaklumkan menerusi surat mahkamah kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Kes berkenaan akan diputuskan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Mohd Ruzima Razali dan Collin Lawrence Sequerah.
Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada media hari ini.
Pada 12 Disember lalu, dalam situasi luar biasa, Abu Bakar mengarahkan pihak pendakwaan meneliti semula sama ada mahu meneruskan rayuan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Beliau memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuannya.
Katanya, beliau berharap pendakwaan berbincang dan meneruskan rayuan jika masih mampu membuktikan kes, tetapi perlu maklumkan kepada mahkamah jika merasakan ia tidak begitu kukuh selepas membuat penelitian.
Bagaimanapun, pendakwaan mengambil pendirian meneruskan rayuan terbabit yang dinyatakan melalui surat enam hari selepas itu.
Surat itu menyatakan, selepas pendakwaan mendapatkan pandangan dan arahan lanjut daripada Mohd Dusuki, Peguam Negara itu telah mengarahkan supaya rayuan diteruskan dan apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima.
Terdahulu, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan Malaysia melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari kemudian, Jabatan Peguam Negara Malaysia memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa bersubahat melakukan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise serta terlibat dalam dua transaksi pengubahan wang haram membabitkan RM50,000.


