MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun masing-masing terhadap bapa dan abang kepada Radin Luqman Radin Imran, penyerang balai polis Ulu Tiram atas pertuduhan berkaitan keganasan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Nor memerintahkan hukuman itu ke atas Radin Imran Radin Yassin, 64, dan Radin Romyullah Radin Imran, 36, selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.
Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas ibu penyerang Rosna Jantan, 61, selepas dia juga mengaku bersalah, manakala dua anak perempuannya, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, dibebaskan.
Sebelum ini, dua anak perempuan tersebut dituduh gagal memberikan maklumat berkaitan kesalahan keganasan. Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah mereka menarik balik pertuduhan terhadap kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.
Radin Imran juga membuat pengakuan sama atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.
Sementara itu, Radin Romyullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.
Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40 (kini Sarjan) cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.


