Isu ternakan babi: UMNO buat laporan polis terhadap ADUN DAP

PEMIMPIN bahagian UMNO membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung cadangan beliau mengenai sistem penternakan babi tertutup di Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, laporan itu menuntut tindakan tegas diambil terhadap Siew Ki kerana didakwa ingkar terhadap titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan terus mempertahankan cadangan tersebut.

Mereka turut membuat laporan berhubung hantaran media sosial yang tidak bertanggungjawab memaparkan imej babi berpakaian diraja, yang dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor.

Jamal mendakwa, Siew Ki melakukan penderhakaan terhadap Sultan Selangor kerana tetap mempertahankan cadangannya walaupun baginda sebelum ini menggesa supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

“Kami bukan sahaja minta polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyunting imej Sultan Selangor, tetapi juga terhadap Siew Ki yang menyebabkan perkara ini menjadi semakin berlarutan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis, di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya petang ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tambin pula berkata, beliau membuat laporan terhadap satu halaman Facebook yang didakwa memuat naik imej menghina Sultan Selangor itu.

Mereka menggesa siasatan dijalankan di bawah kesalahan hasutan dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Minggu lalu, Siew Ki mempertahankan cadangannya mengenai penternakan babi itu dengan berkata, ia dibuat berdasarkan maklum balas penduduk di kawasannya.

Beberapa pihak mengkritik Siew Ki, termasuk Jamal yang pada awal minggu ini menyelar beliau supaya ‘keluar dari Selangor’ jika enggan akur kepada titah Sultan Selangor berkait penternakan babi.

Siew Ki kemudian menjelaskan kenyataannya berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasannya, dan beliau bertanggungjawab membawanya ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img