DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk mengumumkan perkembangan politik di negeri itu.
Perdana Menteri memberi reaksi itu ketika diminta mengulas kemelut politik di Negeri Sembilan susulan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Aminuddin.
“Menteri Besar dan Pakatan Harapan (PH), kita akan umumkan kemudian,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Anwar ditemui selepas melancarkan Makmal Kecerdasan Buatan (AI) dan Pusat Inovasi Huawei di The Exchange 106 @ TRX di ibu negara hari ini.
Pagi ini, UMNO dan BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat sebagai Menteri Besar.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Katanya, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman hari ini.


