LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak RM3.5 bilion pendapatan tidak dilaporkan susulan tindakan penguatkuasaan dan semakan audit menerusi sistem e-Invois.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan, pihaknya yang mengesan ketidakpatuhan itu telah mengeluarkan peringatan sebagai usaha menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela.
“Hasilnya, seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion, yang melibatkan RM760.7 juta cukai kena dibayar.
“Bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP, LHDN akan mengambil tindakan lanjut melalui tindakan audit dan penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagi memperkukuh pematuhan pelaksanaan e-Invois oleh pembayar cukai, LHDN turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 24 April lalu.
Menerusi operasi itu, seramai 108 pembayar cukai telah dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2.
Menurut LHDN, sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran 1.299 bilion e-Invois secara keseluruhan, sekali gus membuktikan sokongan positif terhadap langkah pendigitalan dalam operasi perniagaan dan pengurusan rekod yang lebih teratur.


