Portal MyTax permudahkan urusan pengemukaan rayuan taksiran – LHDN

PENGEMUKAAN rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa untuk membuat rayuan terhadap taksiran cukai yang dibangkitkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 kini boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Rayuan Taksiran di portal MyTax.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan, bagaimanapun kemudahan itu tidak meliputi kes yang melibatkan cukai keuntungan modal, cukai pegangan dan taksiran yang dibangkitkan hasil aktiviti siasatan.

Menerusi kenyataan hari ini, agensi itu memaklumkan, melalui inisiatif tersebut, urusan pengemukaan rayuan taksiran yang sebelum ini melibatkan dokumen fizikal dan proses manual kini boleh dilaksanakan secara dalam talian, tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN.

“Antara pengalaman baharu yang bakal diperoleh pembayar cukai termasuk keupayaan untuk mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa membuat rayuan di mana-mana sahaja dan secara masa nyata.

“Mereka boleh menyemak status rayuan taksiran/permohonan lanjutan masa sepanjang proses pengendalian dan menerima notifikasi status kes, surat pengesahan penerimaan atau penolakan dan notis kelulusan lanjutan masa berkaitan secara dalam talian,” kata kenyataan itu.

LHDN memaklumkan, dari segi akses, pembayar cukai individu boleh mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa melalui peranan individu, manakala pengarah syarikat atau pegawai syarikat yang dilantik dan pentadbir organisasi bagi kes selain syarikat seperti koperasi, badan amanah, perkongsian liabiliti terhad (PLT) dan lain-lain boleh berbuat demikian melalui peranan pengarah syarikat atau pentadbir organisasi.

“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan HASiL untuk memperkasa transformasi digital perkhidmatan percukaian ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan,” kata LHDN.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000  (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img