AKPS tahan wanita warga China cuba seludup ubat, racun terkawal bernilai RM5.4 juta

SEORANG wanita warga China yang cuba menyeludup masuk ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal bernilai RM5.4 juta berjaya ditahan dalam pemeriksaan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan itu hasil tindakan pantas serta kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara.

“Pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bagasi milik seorang penumpang wanita warga China yang baru tiba dari Bangladesh, pada jam 5.30 pagi.

“Pemeriksaan mendapati bagasi berkenaan mengandungi ribuan kotak ubat suntikan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan itu.

Menurut AKPS, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan sejumlah 8,840 unit ubat suntikan yang disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM.

“Ubat-ubatan tersebut turut dipercayai mengandungi racun terkawal jenis Tirzepatide, iaitu ubat yang digunakan bagi rawatan diabetes dan obesiti serta tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Racun 1952,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua barangan berkenaan telah dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengimport keluaran tidak berdaftar.

“Selain itu, kes ini turut disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952 kerana mengimport racun tanpa lesen sah,” katanya.

AKPS KLIA memaklumkan agensi itu memandang serius kegiatan penyeludupan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM.

“Penggunaan ubat tidak berdaftar khususnya yang mengandungi racun terkawal seperti Tirzepatide tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh mendatangkan risiko kesihatan serius serta kesan sampingan yang memudaratkan nyawa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img