POLIS berjaya menumpaskan satu kumpulan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) yang bertindak sebagai pemungut hutang secara agresif menerusi Op Cantas yang dijalankan pada 23 April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan dilakukan di sekitar Desa Bukit Tiara membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 26 tahun.
“Tangkapan ini susulan laporan seorang kontraktor yang mendakwa dinding rumah dan kawasan sekitarnya ditampal dengan pelekat fitnah, selain menerima ugutan jenayah menerusi panggilan telefon.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, lima telefon bimbit, sebuah pembesar suara serta dua helai vest bertulis ‘Debt Collector’ yang dipercayai digunakan bagi tujuan intimidasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan aktif melakukan kegiatan kacau ganggu di 18 lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Puchong, Petaling Jaya dan Rawang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan kesemua suspek telah direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 27 April lalu.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan kini menunggu arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.


