SEORANG pramugara yang sebelum ini didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh seorang penyelia syarikat penyelenggaraan.
Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret MS Arunjothy. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd Iman didakwa membunuh Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di Mahkamah Majistret berasingan, kelmarin.
Beliau berkata, pihak pendakwaan bercadang mengambil tindakan lanjut berhubung kedua-dua pertuduhan itu pada 30 November ini dan memohon tarikh sama ditetapkan bagi sebutan semula kes bunuh berkenaan.
Peguam Mohd Anif Rafih yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pada Isnin lalu, Mohd Iman didakwa atas dua pertuduhan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang mengakibatkan kematian Faris Irfan serta kecederaan terhadap seorang lagi individu, Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) APJ 1987, manakala pertuduhan kedua dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) akta sama.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Faris Irfan maut manakala seorang pemandu lori cedera selepas dirempuh kereta yang dipandu tertuduh.





