SEORANG lelaki mengambil kesempatan terhadap kepercayaan pemilik kedai emas apabila melarikan seutas rantai tangan bernilai RM5,000 dari sebuah premis di Jalan Ahmad Shah, Temerloh, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 1.20 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek datang ke kedai berkenaan dengan niat kononnya ingin membeli rantai tangan emas sebelum meminta untuk melihat barang tersebut.
“Pemilik kedai kemudian mengeluarkan seutas rantai tangan emas dari rak pameran dan menyerahkannya kepada suspek untuk dilihat.
“Namun, suspek secara tiba-tiba melarikan rantai berkenaan sebelum meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, pemilik kedai, Kamalul Hayat Redzwan, 32, mendakwa suspek dipercayai sudah merancang perbuatan tersebut kerana pernah datang ke premis sama beberapa hari sebelum kejadian.
“Suspek datang semula pada hari kejadian dan saya melayan seperti biasa. Namun, selepas diberi rantai untuk dicuba, dia terus melarikan diri ke arah sebuah bank berhampiran.
“Saya bersama abang ipar sempat mengejar, tetapi suspek berjaya meloloskan diri sebelum menaiki Perodua Bezza hitam bernombor pendaftaran RAS 6791 di hujung deretan kedai,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan suspek bertindak bersama rakan kerana melihat seorang lagi individu berada di dalam kenderaan terbabit.
“Saya sempat kembali ke kedai untuk mengambil motosikal bagi mengejar, namun suspek memandu secara melulu dan terus melarikan diri,” katanya yang turut memaklumkan premis berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan kejadian itu turut dirakam.


