Guru wanita bebas tuduhan amang seksual pelajarnya

SEORANG guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajarnya berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan. Oleh demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Semasa prosiding, tertuduh berusia 32 tahun dilihat tenang ketika keputusan dibacakan di mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu sebagai seorang guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun tiga bulan di dalam kereta di tepi jalan di Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 23 Jun 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di dalam sebuah kereta di sebuah perhentian bas di ibu negara pada jam 9 malam, hari yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris dan Datuk Ishak Mohd Yusof.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img