SEORANG penganggur dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, yang didakwa berlaku empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak, M Kunasundary membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.
Tertuduh, Na Li Jin, 34, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun lapan bulan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 7 hingga 8 Oktober 2022.
Dalam penghakimannya, Kunasundary menegaskan bahawa pegawai penyiasat didapati cuai kerana hanya merakamkan kenyataan dua saksi sebelum menahan tertuduh.
“Adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh. Dalam kes ini, laporan keganasan seksual itu dibuat selepas beberapa tahun dan mangsa adalah seorang kanak-kanak.
“Tentunya pegawai penyiasat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan semua aspek dalam kes terhadap mangsa ini disiasat dengan secara menyeluruh dan lengkap, termasuk perkara membabitkan pemilikan premis di mana kesalahan didakwa dikatakan telah berlaku,” katanya.
Mahkamah turut mendapati tertuduh tidak menyewa rumah yang didakwa menjadi lokasi kejadian pada 2022, sebaliknya hanya mula menetap di premis itu pada 2024, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap dakwaan tersebut.
“Melainkan pihak pendakwaan berjaya meyakinkan mahkamah melangkaui keraguan munasabah, tertuduh mesti dibebaskan. Selepas menilai semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketepatan pendakwaan yang dihadapi oleh tertuduh di mahkamah ini.
“Pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa kes ini melepasi keraguan munasabah, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian berkata, anak guamnya sebelum ini turut berdepan satu lagi kes di bawah akta sama, namun ia digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat.


