JURI di Florida mendapati Ryan Routh bersalah kerana cuba membunuh Donald Trump setahun lalu di sebuah padang golf, lapor Xinhua tahun lalu.
Cubaan membunuh calon presiden Parti Republikan ketika itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya November 2024, dan dua bulan selepas satu lagi cubaan bunuh di Pennsylvania apabila telinga Trump cedera terkena tembakan.

Routh, 59, disabitkan kesalahan cubaan membunuh seorang calon presiden utama, menyerang pegawai persekutuan, serta tiga kesalahan berkaitan senjata api persekutuan susulan insiden pada 15 Sept 2024. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup pada prosiding hukuman akan datang.
Hakim Aileen Cannon dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di Daerah Selatan Florida mengendalikan perbicaraan itu, di mana Routh bertindak sebagai peguam bela bagi dirinya sendiri.
“Keputusan bersalah hari ini terhadap Ryan Routh, yang cuba membunuh Trump, menggambarkan komitmen Jabatan Kehakiman untuk menghukum mereka yang terlibat dalam keganasan politik,” kata Peguam Negara AS Pamela Bondi dalam satu kenyataan.
Sebaik sahaja hakim selesai membaca keputusannya, Routh cuba menikam diri sendiri dengan pen di bahagian leher, bagaimana pihak polis berjaya menghalang tindakan sekaligus mengelakkan lelaki tersebut cedera parah.
Trump pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “satu detik besar untuk KEADILAN DI AMERIKA” menerusi satu hantaran di media sosial.


