DATUK Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan permusuhan, selain menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook berkata, Malaysia turut menyambut baik pengumuman bahawa memorandum persefahaman antara kedua-dua negara akan ditandatangani dalam beberapa hari akan datang.
Pada masa sama, beliau memuji usaha pengantaraan yang membawa kedua-dua pihak ke tahap persefahaman itu, khususnya yang dilaksanakan oleh Pakistan.
“Pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini mesti dianggap sebagai perkara yang paling mendesak.
“Selat itu adalah laluan penting bagi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.
“Sebarang gangguan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya menurut hantaran itu malam ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menggesa semua pihak bertindak dengan niat baik, meneruskan proses yang dipersetujui tanpa sebarang kelewatan dan menterjemahkan persefahaman yang dicapai kepada penyelesaian damai yang berkekalan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak serta pihak luar yang berkepentingan supaya menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh menggagalkan usaha diplomasi dan mencetuskan semula permusuhan.
“Malaysia bersedia menyokong segala usaha ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, selain menyeru masyarakat antarabangsa supaya terus mengekalkan momentum positif ini,” katanya.






