PELUANG Malaysia mengakhiri kemarau pingat emas sepak takraw Sukan SEA di bumi Thailand selama 50 tahun bakal terhidang luas.
Sebabnya, tuan rumah disahkan hanya memilih menyertai acara berpasukan, kuadran (berempat) dan gelung (hoop) serta chinlone dan mengabaikan antara regu (kategori lelaki).
Surat penyenaraian barisan pemain Si Gajah Putih pada 15 September 2025 menerusi laman sosial Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) telah mengesahkannya.
Thailand tetap terikat dengan dasar sekatan monopoli yang dikuatkuasakan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), tidak seperti tuan-tuan rumah terdahulu temasya dwitahunan serantau Asia Tenggara ini sejak 2009 yang boleh menyertai semua acara.
Dasar sekatan itu menuntut Thailand memilih hanya dua daripada tiga acara Kumpulan B iaitu sama ada antara regu, kuadran dan gelung sepak takraw Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom dari 9 hingga 20 Disember ini.

Acara Kumpulan A (berpasukan), C (kuadran campuran) dan D (chinlone – perkaitan) pula terbuka kepada kesemua 11 negara peserta Sukan SEA yang juga ahli gabungan Astaf.
Justeru tanpa tuan rumah, skuad negara sudah mampu mengintai podium utama antara regu sekali gus menamatkan penantian sekian lama itu sejak kali akhir memilikinya pada Sukan SEAP Bangkok 1975.
Ketika itu Malaysia menjuarai liga sepusingan tiga penjuru acara berpasukan dengan menewaskan tuan rumah 2-1 (15-10, 12-15, 15-11), (15-17, 4-15), (15-12, 14-17, 15-11) dan Singapura 3-0 (15-2, 15-8), (17-14, 15-8), (15-3, 15-6).
Tiga lagi temasya di tanah Si Gajah Putih hanya menyaksikan pasukan kita sekadar membawa pulang pingat perak Bangkok 1967 dan 1985 serta Chiang Mai 1995.
SukanSEA Korat 2007 pula diboikot Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai membantah penggunaan bola baharu bersalut getah Marathon New Generation.
Laman Facebook TAT itu menyebut, 15 pemain telah disenaraikan bagi sepak takraw Sukan SEA 2025 manakala enam pemain bagi gelung dan lapan pemain untuk chinlone.
Thailand tidak mungkin sanggup mengorbankan gelung kerana inilah permainan tradisi kebangsaannya sejak diperkenalkan dalam Sukan SEA Filipina 2005 malah tidak pernah lekang darpada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand saban tahun.
Malah tentu merugikan tuan rumah sekiranya 15 pemain itu tidak dimanfaatkan bagi berpasukan yang membenarkan pendaftaran pada hari pertandingan, sehingga 12 pemain manakala enam pemain bagi kuadran.
Walau bagaimanapun Malaysia masih mungkin disaingi sengit oleh Indonesia, Myanmar dan Filipina yang turut mengidam pingat emas antara regu.
Hanya dua kemenangan final Piala Dunia Istaf 2024 (15-7, 15-12) dan Piala Asia Astaf 2025 (15-12, 15-9) terhadap Thailand di Kuala Lumpur yang mungkin meletakkan skuad negara sebagai pilihan utama antara regu Sukan SEA Ke-33 ini.
SKUAD SEPAK TAKRAW THAILAND KE SUKAN SEA KE-33, 2025
Siriwat Sakha, Sittipong Khamchan, Kritsanapong Nontakote, Pornthep Tinbangbon, Jakkrit Tinbangbon (tekong), Thawisak Thongsai, Tanaphon Sapyen, Phutawan Sopa, Varayut Jantarasena, Sankhai Daoreang (apit kanan/perejam), Seksan Tubtong, Rachan Viphan, Wuttinun Kamsanor, Sirisak Anuloon,Marukin Phanmakon (apit kiri/pengumpan).


