Pengarah syarikat warga China mabuk, pandu lawan arus bakal didakwa esok

SEORANG lelaki warga China yang memandu melawan arus serta di bawah pengaruh alkohol di Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani pada Ahad lalu akan didakwa di Mahkamah Sungai Petani esok.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan selepas suspek direman selama empat hari bermula 27 April lalu hingga esok.

“Siasatan kes itu sudah lengkap dan kita akan dakwa suspek yang berusia lingkungan 50-an itu esok,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga China yang memandu dalam keadaan melawan arus di Jalan Lencongan Barat dipercayai di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah kereta lain.

Kejadian itu tular dalam media sosial selepas kenderaan lelaki itu dirakam dipandu dalam keadaan merbahaya.

Suspek yang merupakan pengarah sebuah syarikat itu hanya mengalami luka di muka dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Adzli dalam pada itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 45C(6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek juga enggan memberikan sampel darah ketika diminta polis.

“Dia turut meronta dan menendang kenderaan polis sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img