POLIS menumpakan satu lagi sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku haram dalam serbuan bersepadu Op Taring Chiller di sekitar Kepong, Kuala Lumpur hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira jam 10.50 pagi itu diketuai Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
Serbuan melibatkan tiga lokasi iaitu dua premis makanan dan sebuah syarikat pemprosesan makanan di kawasan Metro Perdana serta Kawasan Perindustrian Sri Edaran.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi tersebut berjaya menahan tujuh individu termasuk dua pemilik premis dan lima pekerja warga asing.
“Lima daripada pekerja yang ditahan merupakan warga Myanmar dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 42 tahun dan dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan pemprosesan serta pengedaran makanan sejuk beku haram terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk karkas babi sejuk beku seberat 15,205.30 kilogram dan daging itik seberat 271.03 kilogram.
“Selain itu, dua peti sejuk beku, minyak masak seberat 1,196 kilogram dan 110 kilogram tepung turut disita dalam operasi berkenaan.
“Rampasan terbesar itu melibatkan karkas babi sejuk beku dengan nilai lebih RM532,000 dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM541,000,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai mengimport serta menyimpan produk makanan dari sumber tidak dibenarkan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kesalahan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Binatang 1953, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
“Tiga kompaun berjumlah RM4,500 turut dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan halangan di kawasan awam selain sebuah premis turut disita oleh DBKL bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, semua rampasan karkas babi dan itik diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur untuk tindakan susulan.
“Kesemua individu yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Mohd Zaki memberitahu, kejayaan operasi itu sekali gus memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan dan pengedaran makanan sejuk beku haram yang aktif di sekitar ibu negara.
“Polis akan terus mempergiat operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penjualan barangan tidak selamat demi melindungi pengguna,” katanya.


