Kanak-kanak jatuh longkang mungkin dihanyutkan ke sungai utama – Bomba

KANAK-kanak lelaki berusia 10 tahun, Khairil Izani Khaizalullinordin yang terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam, Shah Alam sejak petang semalam, berkemungkinan telah dihanyutkan ke sungai utama.

Ketua Zon 7 Selangor Utara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, ketiadaan perangkap sampah di laluan longkang yang bersambung ke Sungai Buloh dan seterusnya ke Sungai Selangor antara faktor yang meningkatkan kebarangkalian itu.

ANGGOTA bomba dan penyelamat termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) berusaha mencari dan menyelamat kanak-kanak lelaki, Khairil Izani yang terjatuh longkang di Bandar Puncak Alam, Shah Alam sejak petang semalam. GAMBAR: JBPM Selangor

Beliau berkata, struktur laluan air tanpa halangan itu membolehkan arus deras membawa mangsa lebih jauh tanpa sekatan dan keadaan tersebut menyukarkan usaha mengesan mangsa dalam radius pencarian awal yang tertumpu di kawasan longkang serta saliran berhampiran lokasi kejadian.

“Laluan longkang ini bersambung terus ke Sungai Buloh dan akhirnya ke Sungai Selangor tanpa sebarang perangkap sampah.

KHAIRIL Izani, dikhuatiri lemas selepas terjatuh longkang di Bandar Puncak Alam sejak petang semalam

“Ini menyebabkan kebarangkalian mangsa dihanyutkan sehingga ke sungai utama adalah tinggi,” katanya ketika ditemui media di pusat kawalan bomba di Bandar Puncak Alam hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu walaupun pencarian dilakukan secara intensif.

“Setakat ini pasukan penyelamat telah melakukan pencarian sejauh kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

“Dalam radius empat kilometer, kita tidak menemukan sebarang objek atau tanda yang boleh dikaitkan dengan mangsa walaupun pencarian dilakukan berulang kali termasuk ketika air surut pada waktu malam,” katanya.

Tambah beliau, keadaan arus deras serta hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu turut menjadi cabaran utama dalam operasi tersebut.

“Arus air yang terlalu deras susulan hujan menyebabkan anggota sukar melakukan pencarian secara menyeluruh di sepanjang laluan air,” katanya.

Operasi SAR turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun masih belum menunjukkan hasil positif.

“Unit K9 juga tidak mengesan sebarang bau atau objek berkaitan mangsa, sekali gus menguatkan kemungkinan mangsa telah dihanyutkan lebih jauh,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, operasi SAR akan diperluaskan ke kawasan sungai dengan jarak tambahan antara tujuh hingga 10 kilometer.

“Fokus pencarian akan tertumpu di sepanjang pesisir Sungai Buloh sehingga ke pertemuan dengan Sungai Selangor,” katanya lagi

Menurutnya, sebanyak tiga bot telah digunakan dalam operasi setakat ini dan jumlah aset tersebut akan ditambah bagi memperluas kawasan pencarian.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki terbabit dikhuatiri lemas selepas terjatuh longkang sewaktu hujan lebat di Bandar Puncak Alam petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang melibatkan mangsa, Khairil Izani yang dikatakan terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img