Tiga lelaki didakwa serang pelanggan restoran guna senjata di Kepong

TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menyerang seorang pelanggan menggunakan senjata di sebuah restoran di Kepong minggu lalu.

Tertuduh, Wong Weng Luen, Lai Kae Bin dan Wan Ken Fei yang berusia antara 29 hingga 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap lelaki dikenali sebagai Andrew Teh, 47, menggunakan senjata atau cara berbahaya di Restoran Hing Kee Bakuteh, Jalan Kepong kira-kira jam 2 pagi pada 7 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dikemukakan peguam tertuduh, S Narasimhan dan menetapkan 15 Jun depan untuk penyerahan dokumen.

Terdahulu, Narasimhan memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan jaminan walaupun kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Walaupun berita mengenai kes ini telah tular, ia tidak secara automatik menafikan hak jaminan kepada tertuduh. Jika tidak, ia boleh dianggap sebagai perbicaraan oleh media,” katanya.

Beliau turut berhujah bahawa semua tertuduh tidak akan melarikan diri atau mengganggu saksi selain bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri secara berkala di balai polis sehingga kes selesai.

Katanya, ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai tukang kayu, juruelektrik dan pekerja rumah mayat turut memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img