Inisiatif kerajaan berjaya noktahkan miskin tegar di Selangor – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dimaklumkan kepadanya menerusi Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikannya di Shah Alam petang tadi.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikannya di Shah Alam petang tadi. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Bagaimanapun, Anwar memaklumkan, pemantauan perlu diteruskan bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada menerima manfaat.

“Apa yang lebih penting, setiap keluarga perlu diberi peluang untuk bangkit, diperkasakan melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.

“Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau malam ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri mahu kejayaan program SejaTi Madani di Petaling diperluas, khususnya dalam membantu golongan miskin bandar.

Tambah beliau, inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan yang bermakna, dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.

“insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu antara lain turut meneliti kemajuan pelaksanaan projek rakyat yang mendesak serta merangka penyelesaian kepada isu berbangkit seperti penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir.

Anwar memberitahu, mesyuarat itu turut menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.

“Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Saya juga tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan,” kata beliau.

Mesyuarat lebih sejam itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar barisan Exco kerajaan negeri serta pegawai kanan daerah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img